Friday, December 11, 2009

UMNO P.Pinang Sambut Baik Keputusan MT Tarik Balik Penggantungan Ahmad




09 Disember, 2009 17:25 PM
PULAU PINANG, 9 Dis (Bernama) -- Umno Pulau Pinang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menarik balik penggantungan Datuk Ahmad Ismail selama tiga tahun dari September kerana mengeluarkan kenyataan sensitif semasa berkempen.

Setiausaha Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata beliau menyambut baik keputusan penarikan balik penggantungan Ahmad kerana beliau (Ahmad) masih merupakan orang penting bagi Umno.

"Saya percaya Majlis Tertinggi parti telah menimbangkan perkara itu secara serius sebelum membuat keputusan itu dan Umno Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan kepulangan Ahmad," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Rabu dilaporkan berkata Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada Jumaat memutuskan untuk menarik balik penggantungan Ahmad.

Ahmad, bekas Ketua Umno Bukit Bendera, semasa dihubungi berkata beliau bersyukur kerana perjuangan parti kembali ke landasan dan mengucapkan terima kasih kepada presiden dan timbalan presiden parti atas pertimbangan mereka.

Beliau digantung daripada parti selama tiga tahun dari September berikutan kritikan orang ramai selepas beliau menganggap bukan Melayu sebagai "pendatang" semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lepas.

-- BERNAMA

____________________________________________________________________________________


Kes Ahmad: UMNO lega, Gerakan kecewa

BUTTERWORTH 10 Dis. - UMNO Pulau Pinang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi (MT) menarik balik hukuman penggantungan selama tiga tahun yang dikenakan terhadap bekas Ketua UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim, tindakan itu wajar memandangkan Ahmad sudah pun menjalani hukuman ekoran kenyataan kontroversinya ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos tahun lalu.
''Kita percaya keputusan ini (menarik balik hukuman) sudah difikirkan semasak-masaknya oleh pihak MT selepas mengambil kira perkara-perkara yang wajar diberi pertimbangan.
''Dari segi kewajarannya pun, Ahmad sudah pun menjalani hukuman dan beliau masih bersungguh- sungguh untuk membantu UMNO mendekati rakyat terutamanya di Pulau Pinang," katanya semalam.
Sementara itu, Ahmad yang dihubungi menyatakan rasa syukur serta berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti berhubung perkara itu dan bertekad untuk terus membantu UMNO menabur bakti kepada rakyat negeri ini.
''Selama ini pun (dalam tempoh penggantungan) saya tetap berjuang dengan parti apabila dilantik sebagai Penasihat kepada UMNO Bahagian Bukit Bendera," katanya.
Sementara itu Gerakan Pulau Pinang kecewa dan terkejut dengan keputusan tersebut.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Gerakan berpendapat keputusan tersebut bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

0 comments:

Post a Comment

Text Widget

Text Widget