Monday, December 28, 2009

Arab Saudi Anggap Malaysia Contoh Negara Islam Progresif

28 Disember, 2009 00:36 AM



KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Arab Saudi menganggap Malaysia sebagai model negara Islam progresif yang wajar dicontohi oleh negara-negara membangun lain.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini Ahad mengenai lawatan dua hari Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke Arab Saudi, menjelaskan bahawa kerajaan Saudi menyatakan puashati terhadap hubungan bilateral yang wujud sekarang antara kedua-dua negara dan komited untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang lain.

Sabtu, Anifah mengunjungi Menteri Kewangan Arab Saudi Ibrahim Abdul-Aziz al-Assaf, Menteri Luar Putera Saud al-Faisal Abdulaziz, dan Timbalan Perdana Menteri Kedua Putera Nayef Abdulaziz al-Saud.

Dalam pertemuan dengan Putera Saud, isu Palestin dan perkembangan politik dan keselamatan di rantau berkenaan baru-baru ini yang memberi kesan kepada Arab Saudi dan negara-negara Islam menjadi topik utama dibincangkan.

Putera Saud juga menggariskan bahawa kerajaan Saudi berhasrat meninjau bidang-bidang lain untuk kerjasama dengan Malaysia dan negara-negara Asean lain dari segi pengeluaran makanan dan eksport ke negara itu.

"Kedua-dua negara bersependapat bahawa terdapat keperluan untuk memperluas pelaburan bersama dalam bidang komoditi ke negara-negara ketiga dan bersetuju tentang perlunya kerjasama lebih baik ke arah penambahbaikan kepentingan Ummah.

Ia menyatakan Anifah juga menyampaikan penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia kepada kerajaan Saudi kerana layanan mesra dan keprihatinannya terhadap jemaah haji Malaysia.

"Putera Saud menyatakan bahawa kerajaan Saudi menghormati Malaysia sebagai sebuah negara contoh, memuji jemaah haji Malaysia dan menyifatkan mereka sebagai berdisiplin dengan tingkah laku yang baik," kata kenyataan itu.

Pada mesyuarat dengan Putera Nayef, Malaysia digesa memain peranan aktif untuk merapatkan jurang dan mengatasi pertikaian antara negara-negara Islam dan Ummah ke arah menyumbang kepada kestabilan di rantau ini dan perpaduan Ummah.

Hari Ahad, Anifah menghadap Raja Abdullah Abdulaziz al-Saud, Penjaga dua Masjid Suci.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Text Widget

Text Widget