Thursday, December 31, 2009
Monday, December 28, 2009
Arab Saudi Anggap Malaysia Contoh Negara Islam Progresif
Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini Ahad mengenai lawatan dua hari Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke Arab Saudi, menjelaskan bahawa kerajaan Saudi menyatakan puashati terhadap hubungan bilateral yang wujud sekarang antara kedua-dua negara dan komited untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang lain.
Sabtu, Anifah mengunjungi Menteri Kewangan Arab Saudi Ibrahim Abdul-Aziz al-Assaf, Menteri Luar Putera Saud al-Faisal Abdulaziz, dan Timbalan Perdana Menteri Kedua Putera Nayef Abdulaziz al-Saud.
Dalam pertemuan dengan Putera Saud, isu Palestin dan perkembangan politik dan keselamatan di rantau berkenaan baru-baru ini yang memberi kesan kepada Arab Saudi dan negara-negara Islam menjadi topik utama dibincangkan.
Putera Saud juga menggariskan bahawa kerajaan Saudi berhasrat meninjau bidang-bidang lain untuk kerjasama dengan Malaysia dan negara-negara Asean lain dari segi pengeluaran makanan dan eksport ke negara itu.
"Kedua-dua negara bersependapat bahawa terdapat keperluan untuk memperluas pelaburan bersama dalam bidang komoditi ke negara-negara ketiga dan bersetuju tentang perlunya kerjasama lebih baik ke arah penambahbaikan kepentingan Ummah.
Ia menyatakan Anifah juga menyampaikan penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia kepada kerajaan Saudi kerana layanan mesra dan keprihatinannya terhadap jemaah haji Malaysia.
"Putera Saud menyatakan bahawa kerajaan Saudi menghormati Malaysia sebagai sebuah negara contoh, memuji jemaah haji Malaysia dan menyifatkan mereka sebagai berdisiplin dengan tingkah laku yang baik," kata kenyataan itu.
Pada mesyuarat dengan Putera Nayef, Malaysia digesa memain peranan aktif untuk merapatkan jurang dan mengatasi pertikaian antara negara-negara Islam dan Ummah ke arah menyumbang kepada kestabilan di rantau ini dan perpaduan Ummah.
Hari Ahad, Anifah menghadap Raja Abdullah Abdulaziz al-Saud, Penjaga dua Masjid Suci.
-- BERNAMA
Lapan Pilihan Raya Kecil Warnai Politik Negara Pada 2009
KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Senario politik negara tahun ini diwarnai lapan pilihan raya kecil, dua bagi kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dan keputusan lapan pilihan raya kecil itu menunjukkan bahawa demokrasi masih subur di negara ini kerana pakatan pembangkang terdiri DAP-PKR-PAS menang kedua-dua kerusi Parlimen dan empat daripada enam kerusi DUN itu.
Siri pilihan raya itu bermula bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail daripada Barisan Nasional akibat serangan jantung ketika sedang bermain badminton pada 28 Nov 2008.
Pada pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Jan 2009, Mohd Abdul Wahid Endut daripada Pas menewaskan Datuk Wan Abdul Farid Wan Salleh daripada Barisan Nasional dan calon bebas, Azharuddin Mamat, dengan majoriti 2,631 undi.
Kemudian pada 7 April, sejarah tercipta apabila tiga pilihan raya kecil dijalankan secara serentak iaitu bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak serta kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah dan kerusi DUN Batang Ai di Sarawak.
Kerusi Bukit Gantang dan Batang Ai kosong kerana kematian wakil rakyat masing-masing manakala di Bukit Selambau, ia disebabkan ADUN di situ daripada PKR meletak jawatan.
Satu rekod dicipta di Bukit Selambau apabila 15 calon bertanding.
Kerusi itu dimenangi S.Manikumar daripada PKR. Kecuali calon BN, Datuk S.Ganesan, yang lain hilang wang pertaruhan.
Kerusi Bukit Gantang dimenangi wakil Pas manakala Batang Ai pula dikuasai BN.
Akibat masalah dalaman politik di Pulau Pinang, kerusi DUN Penanti dikosongkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR.
BN membuat kejutan dengan memutuskan untuk tidak bertanding kerana menganggap kekosongan itu bukannya berlaku akibat kematian penyadang tetapi sengaja dikosongkan oleh PKR untuk membolehkan seorang wakilnya yang lain bertanding di situ.
Suhu politik negara kemudian dipanaskan dengan kekosongan kerusi DUN Manik Urai di Kelantan ekoran kematian penyandangnya Ismail Yaacob dari Pas akibat serangan jantung pada 22 Mei.
Berbanding Penanti yang tidak meriah, senario di Manik Urai menjadi tumpuan penganalisis politik bagi mengukur sejauh mana keupayaan BN untuk menembusi "kubu kuat" Pas itu.
Keputusan agak mengejutkan kerana calon BN Tuan Aziz Tuan Mat kalah dengan hanya 65 undi berbanding majoriti 1,352 yang diraih oleh Pas pada pilihan raya umum tahun lepas.
"Kejayaan" itu mendorong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berkata : "Inilah kali pertama saya terima ucapan tahniah kerana kita kalah."
Sebulan kemudian, satu lagi kerusi DUN Pulau Pinang, Permatang Pasir, menjadi kosong akibat kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas, juga kerana sakit jantung. Dan dalam pilihan raya kecil kemudiannya, wakil parti itu Mohd Salleh Man menewaskan Rohaizat Othman daripada BN dengan majoriti 4,551 undi.
Selang beberapa minggu kemudiannya, kematian ADUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan, Azman Mohammad Noor daripada BN, membolehkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bertanding menentang Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohamad Omar.
Seperti dijangka, Mohd Isa menang dengan yang memperoleh 8,013 undi menewaskan lawannya itu dengan majoriti 5,435 undi iaitu 110 peratus peningkatan berbanding majoriti 2,333 undi yang dicatat oleh BN pada pilihan raya umum lepas.
Pada 24 Nov lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat perintah Mahkamah Rayuan bagi penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kedah kawasan Kota Siputeh, ekoran kegagalan wakil rakyatnya, Datuk Abu Hassan Sarif daripada BN, menghadiri persidangan sebanyak dua kali berturut-turut.
-- BERNAMA
Monday, December 21, 2009
Gerakan Tidak Berhak Tolak Permintaan Umno Negeri
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon seharusnya melihat permintaan Umno negeri itu secara positif kerana cadangan itu dibuat demi kepentingan BN di negeri ini dan mempunyai rasionalnya.
Beliau mengulas kenyataan Tsu Koon yang juga penyandang jawatan tersebut semalam yang menolak permintaan pemimpin Umno negeri supaya jawatan Pengerusi BN yang kini dipegang oleh Gerakan selama lebih 35 tahun, diserahkan kepada parti berkenaan.
"Jawatan tersebut bukannya hak turun-temurun atau hak seumur hidup kepada mana-mana individu mahu pun parti, maka adalah tidak salah permintaan yang dibuat Umno Pulau Pinang itu dipertimbangkan sebaik-baiknya," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata sejak dua tahun kebelakangan ini, Tsu Koon selaku Pengerusi BN negeri ini telah gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau terutama dalam menggerakkan parti komponen BN bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk kepentingan rakyat negeri ini terutama di peringkat akar umbi.
Di KUALA LUMPUR, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyokong cadangan tersebut demi mengembalikan keyakinan rakyat negeri itu terhadap kerajaan pimpinan BN.
"Ini bukan bererti bahawa Umno hendak monopoli BN Pulau Pinang, tetapi hakikatnya Umno ada 11 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan dua Parlimen di sana. BN Pulau Pinang perlukan parti yang ada kekuatan.
"Beliau tidak lagi boleh sentimental dan perlu melihat kepada realiti. Kita nak merampas Pulau Pinang balik pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, jadi kita perlulah sepakat. Ini bukan soal parti tetapi perjuangan, bagaimana kita nak yakinkan rakyat kepada BN," katanya.
Ditanya adakah nanti akan wujud pergeseran dalam BN Pulau Pinang ekoran kenyataan itu, Reezal berkata perbezaan pendapat di kalangan komponen parti bukanlah sesuatu yang baru dan berharap perkara itu dibincangkan di peringkat tertinggi BN.
Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno turut mencadangkan jawatan Pemuda BN Pulau Pinang diberikan kepada Umno.
-- BERNAMA
Monday, December 14, 2009
PROGRAM BERKHATAN PERDANA
Selepas mengadakannya pertama kalinya di Penghulu Him dalam DUN Tanjung Dawai, pada 12/12/2009 yang lalu diadakan pula satu lagi program yang serupa tetapi dengan lebih tersusun serta padat. Program kali ini kebetulan pula selari dengan program berkhatan di Paya Nahu yang dirasmikan oleh Ketua Bahagian UMNO Merbok, dan program diBukit Selambau dalam DUN Bukit Selambau pula telah dirasmikan oleh Ketua Biro Penerangan UMNO Bahagian Merbok, Datuk Mohd Zubir Saad.
Manakala program ini diteruskan pula sehingga kesebelah malam dengan menjemput aktivis UMNO Malaysia yang amat di kenali serta berpengalaman dalam pelbagai bidang, iaitu Dato' Wira Othman Abdul yang sudi menyampaikan ucapan dalam bentuk majlis ilmu. Semuga ilmu yang disampaikan oleh beliau dapat dimanfaatkan oleg ibubapa yang mendengar ucapan belia ketika menemani anak-anak mereka.
Pihak UMNO Bahagian Merbok berhasrat untuk mengadakan program seumpama ini pada tahun-tahun mendatang, InsyaAllah.
Friday, December 11, 2009
PANDANGAN DARI BEKAS-BEKAS PEMIMPIN NEGARA MENGENAI BTN
Bekas Perdana Menteri itu berpendapat kurikulum BTN dapat memupuk semangat perpaduan kerana kursus anjuran agensi itu turut dihadiri rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
"Tidak perlu dirombak... saya ingat kekal (modul BTN)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Aids Sedunia 2009 di sini semalam.
Baru-baru ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kurikulum BTN akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tub Razak.
Isu kursus anjuran BTN mendapat perhatian ramai apabila kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini melarang kakitangan awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri mengikuti kursus berkenaan berkuatkuasa serta-merta kerana didakwa sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman, memecah-belahkan penduduk pelbagai kaum, agama dan menimbulkan kebencian kepada pembangkang.
Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, tidak ada apa-apa yang tidak betul mengenai kursus BTN kerana kurikulumnya cukup baik untuk memberi kesedaran tentang pentingnya kehidupan bernegara.
Malah katanya beliau juga pernah memberikan syarahan pada kursus anjuran BTN dan antara perkara yang diterangkan ialah mengenai sejarah Malaysia.
"Kadang-kadang ramai orang tidak faham nilai yang dapat menerusi kursus BTN. Saya tidak nampak BTN buruk selain dapat diterangkan tentang sejarah negara," katanya.
Sementara itu ketika mengulas saranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pemerhati bebas dari Australia dilibatkan bagi memantau perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr Mahathir dengan sinis berkata: "Kalau orang putih dia percaya, kalau orang Melayu dia tak percaya."
Mengenai langkah kerajaan merancang memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula Dr Mahathir berkata, perlu ada kajian mendalam mengenai perkara itu supaya tidak membebankan rakyat. Sebelum ini, Perdana Menteri menjelaskan bahawa pengenalan GST di Malaysia adalah satu bentuk keperluan jangka panjang memandangkan pergantungan negara kepada sektor petroleum sebagai penyumbang utama pendapatan perlu diganti dari sekarang. BERNAMA
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri tidak bersifat perkauman.
"Tapi kalau ada mana-mana individu yang bersifat perkauman, itu saya tak tahu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kerja dan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Institut Kefahaman Malaysia (IKIM) 2009 di sini hari ini.
Abdullah berkata, BTN bertujuan memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan warga negara.
Isu mengenai BTN timbul apabila kerajaan Selangor yang diterajui pakatan PKR, DAP dan Pas melarang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar daripada institusi pengajian milik kerajaan negeri daripada menghadiri kursus anjuran biro itu dengan mendakwa ianya bersifat perkauman dan cuba mempengaruhi peserta untuk menyokong Barisan Nasional.
"Tak usah kita riuh pasal perkara ini. Kita mahukan sesebuah institusi itu dapat diteruskan dengan niat yang baik untuk meningkatkan kesedaran mengenai programnya,” kata Abdullah yang pernah menjadi menteri bertanggungjawab bagi BTN pada tahun 1981.
Bagaimanapun Abdullah menyambut baik rombakan kurikulum BTN yang dicadangkan kabinet minggu lepas agar selaras dengan konsep 1Malaysia. - Bernama
UMNO P.Pinang Sambut Baik Keputusan MT Tarik Balik Penggantungan Ahmad
PULAU PINANG, 9 Dis (Bernama) -- Umno Pulau Pinang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menarik balik penggantungan Datuk Ahmad Ismail selama tiga tahun dari September kerana mengeluarkan kenyataan sensitif semasa berkempen.
Setiausaha Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata beliau menyambut baik keputusan penarikan balik penggantungan Ahmad kerana beliau (Ahmad) masih merupakan orang penting bagi Umno.
"Saya percaya Majlis Tertinggi parti telah menimbangkan perkara itu secara serius sebelum membuat keputusan itu dan Umno Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan kepulangan Ahmad," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Rabu dilaporkan berkata Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada Jumaat memutuskan untuk menarik balik penggantungan Ahmad.
Ahmad, bekas Ketua Umno Bukit Bendera, semasa dihubungi berkata beliau bersyukur kerana perjuangan parti kembali ke landasan dan mengucapkan terima kasih kepada presiden dan timbalan presiden parti atas pertimbangan mereka.
Beliau digantung daripada parti selama tiga tahun dari September berikutan kritikan orang ramai selepas beliau menganggap bukan Melayu sebagai "pendatang" semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lepas.
-- BERNAMA
____________________________________________________________________________________
Kes Ahmad: UMNO lega, Gerakan kecewa
BUTTERWORTH 10 Dis. - UMNO Pulau Pinang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi (MT) menarik balik hukuman penggantungan selama tiga tahun yang dikenakan terhadap bekas Ketua UMNO Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Azhar Ibrahim, tindakan itu wajar memandangkan Ahmad sudah pun menjalani hukuman ekoran kenyataan kontroversinya ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos tahun lalu.
''Kita percaya keputusan ini (menarik balik hukuman) sudah difikirkan semasak-masaknya oleh pihak MT selepas mengambil kira perkara-perkara yang wajar diberi pertimbangan.
''Dari segi kewajarannya pun, Ahmad sudah pun menjalani hukuman dan beliau masih bersungguh- sungguh untuk membantu UMNO mendekati rakyat terutamanya di Pulau Pinang," katanya semalam.
Sementara itu, Ahmad yang dihubungi menyatakan rasa syukur serta berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti berhubung perkara itu dan bertekad untuk terus membantu UMNO menabur bakti kepada rakyat negeri ini.
''Selama ini pun (dalam tempoh penggantungan) saya tetap berjuang dengan parti apabila dilantik sebagai Penasihat kepada UMNO Bahagian Bukit Bendera," katanya.
Sementara itu Gerakan Pulau Pinang kecewa dan terkejut dengan keputusan tersebut.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Gerakan berpendapat keputusan tersebut bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Thursday, December 10, 2009
Jangan terperangkap politik DAP
Jangan terperangkap politik DAP
shofi.isa@utusan.com.my
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, DAP sudah ketandusan isu sehingga menimbulkan kembali perkara itu.
“Ini adalah mainan politik DAP yang sekarang sudah kering idea. Jangan sekali-kali kita terperangkap dengan tindakan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan DAP yang terus mempersoalkan ketuanan Melayu dan bertegas akan terus membangkitkan dasar itu yang disifatkan tidak adil untuk kaum lain.
Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran ketika membangkitkan perkara itu baru-baru ini berkata, tindakan tersebut akan terus dilakukan kerana bimbang tentang masa depan hubungan antara kaum di negara ini.
Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mungkin perkataan ketuanan Melayu membawa konotasi yang boleh menimbulkan keresahan, tetapi dari segi sejarah ia tidak boleh diubah.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tindakan DAP yang terus mempersoalkan ketuanan Melayu akan menjejaskan hubungan baik antara kaum yang terjalin sejak sekian lama.
“Saya amat kecewa dengan tindakan DAP ini. Ia jelas sebagai cubaan mereka untuk mewujudkan ketegangan kaum di negara ini,” jelasnya.
Rosnah berkata, tindakan DAP itu tidak menghormati kontrak sosial yang menjadi landasan kepada perpaduan kaum di negara ini.
“Ia merupakan sikap angkuh DAP yang sengaja membangkitkan isu ini bagi menarik perhatian rakyat terhadap mereka.
“DAP tidak sepatutnya membangkitkan isu ketuanan Melayu. Jika mereka masih berdegil ia wajar ditentang supaya perpaduan kaum dalam negara ini tidak terjejas disebabkan tindakan mereka yang mementingkan diri sendiri,” katanya.
Friday, December 4, 2009
Kena Sayang Parti Jangan Sayang Diri Sendiri - Mahathir
"Kena sayang parti, sayang bangsa, sayang negara, jangan sayang diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan untuknya oleh syarikat Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd di Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) di sini Jumaat.
LIMA 2009 yang berlangsung lima hari berakhir Sabtu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar permasalahan yang berlaku dalam MCA diselesaikan dengan secepat mungkin bagi membolehkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu memulakan proses pemulihannya.
-- BERNAMA
Thursday, December 3, 2009
DAP pijak gambar ….biadap dan merbahaya
Perbuatan pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang memijak gambar tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang yang melompat sokong Barisan Nasional semasa Konvensyen DAP Perak Ahad telah mengundang reaksi yang mengecam tindak tanduk itu termasuk dari Ahli Parlimen PKR. Antara yang lantang bersuara,Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan tindak tanduk itu sangat merbahaya dan biadap. “Saya bimbang ekoran perbuatan itu boleh terjadi keganasan atau rusuhan. Siapa yang akan bertanggung jawab jika keganasan berlaku,”katanya Selasa. Pada konvensyen tersebut, poster yang memaparkan wajah tiga ADUN iaitu Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu meminjaknya. Sementara itu Pergerakan Puteri UMNO mengutuk sekeras- sekerasnya perbuatan biadap pemimpin DAP yang memijak poster tiga wakil rakyat bebas itu yang secara terang dan nyata bertujuan menghina mereka. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan perbuatan itu sebagai langsung tidak berbudaya serta tidak menghormati hak individu dan demokrasi. "Ini menunjukkan bahawa politik pada diri mereka (perwakilan dan pemimpin DAP) mengatasi segala-galanya dan (mereka) tiada langsung perasaan kemanusiaan atau penghormatan terhadap individu dan hak demokrasi mereka," kata Rais. Sementara itu dalam satu sidang akhbar bersama yang diadakan di bangunan parlimen Selasa,sembilan Ahli parlimen pembangkang tidak setuju dengan tindak tanduk DAP itu. Mereka terdiri dari Datuk Zahrain Mohd Hashim (PKR-Bayan Baru), Mohd Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau) Wee Choo Keong (PKR -Wangsa Maju); N. Gobalakrishnan (PKR- Padang Serai); Zulkifli Noordin (PKR Kulim-Bandar Baru); Abd Aziz Kadir (PKR-Ketereh); Mohsin Fadzli Samsuri (PKR- Bagan Serai); Ahmad Kassim (PKR- Kuala Kedah) dan Azan Ismail (PKR - Indera Mahkota). Mereka menganggap ia sebagai satu tindakan kebudak-budakan, biadap dan kurang ajar serta bimbang akan jadi ikutan pihak lain.-1/12/2009
Beliau bertanya apa jadi jika ada bangsa Melayu yang patriotik atau ekstrem serta panas baran membuat 'alasan' untuk bangkit membalas dendam kerana merasakan bangsa mereka dihina.
Shahrizat kesal kerana perbuatan tidak berhemah itu disertai oleh Kit Siang selaku pemimpin veteran.
Selain Kit Siang antara pemimpin DAP yang terbabit dalam perbuatan itu ialah ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang juga Adun Pantai Remis; Adun Sungkai A Sivanesan dan Adun Tebing Tinggi Ong Boon Piow.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menilai perbuatan berkenaan
kurang ajar, tidak beradab dan merendahkan martabat para pemimpin pembangkang itu sendiri terutama DAP.
Beliau berkata tindakan pemimpin DAP memijak poster wajah tiga wakil rakyat itu ketika konvensyen DAP, Ahad lepas jelas menunjukkan pembangkang di negara ini tidak menghormati demokrasi.
"Tindakan mereka adalah terlalu melampau dan dengan bahasa paling mudah ialah orang tidak beradab. Apabila seseorang itu tidak memahami dan menghormati proses demokrasi, maka dia tidak mempunyai nilai-nilai demokrasi.
"Jika kita tidak menghormati seseorang, jangan bercakap soal demokrasi. Mereka melakukan perbuatan sedemikian langsung tidak melambangkan apa yang mereka perkatakan sebelum ini," katanya di Ipoh Selasa.
Zambry turut melahirkan rasa kecewa apabila seorang pemimpin politik seperti Kit Siang sanggup merendah dan menjatuhkan maruah dengan melakukan perbuatan sedemikian.
"Paling membebalkan apabila tindakan seorang orang tua seperti Kit Siang melakukan sedemikian. Bagi saya paling malang dalam sejarah politik apabila seorang yang kononnya dianggap 'supremo' dalam politik menjatuhkan maruah dan martabatnya begitu rendah sekali," katanya.
Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam satu kenyataan Selasa berkata, tindakan seumpama itu jelas bertentangan dengan semangat perpaduan dan saling hormat menghormati yang menjadi teras masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Perbuatan sengaja menjadikan poster ketiga-tiga wakil rakyat bebas itu seperti 'kain pengesat kaki' sememangnya kurang ajar dan mempermainkan hak serta kebebasan seseorang itu untuk memilih parti yang ingin diwakilinya", katanya.
Beliau berkata pemimpin veteran seperti Kit Siang sepatutnya menjadi teladan kepada barisan pemimpin muda dan bukannya bertindak di luar batas kesusilaan sehingga tergamak memijak gambar wakil rakyat tersebut semata-mata berbeza pandangan dalam politik.
Rosnah juga berkata beliau kesal dengan sikap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng yang selama ini bercakap mengenai kesederhanaan dan ciri-ciri pemimpin berwibawa juga tergamak bertindak sedemikian sehingga menghilangkan rasa hormat rakyat terhadapnya.
"Perbuatan yang sengaja dipertontonkan kepada ahli-ahli parti itu termasuk pihak media yang hadir semasa konvensyen itu juga menunjukkan sikap sombong dan bongkak pemimpin parti itu.
Katanya perbuatan itu tidak langsung sinonim dengan masyarakat Malaysia atau prinsip Rukunegara malahan Perlembagaan negara.
"Saya boleh nyatakan kelakuan mereka dalam DAP yang pijak foto bekas rakan mereka itu adalah perbuatan langsung tidak berbudaya malah lebih terkutuk dari masyarakat yang tiada bimbingan di dunia luar," katanya.
Rais berkata jika DAP menghargai nilai demokrasi mereka harus menerima hakikat bahawa ketiga-tiga Adun itu keluar parti atas prinsip perjuangan mereka.
"Kenapa foto mereka dipijak sambil masuk ke dewan? Ketiga-tiga mereka boleh ambil tindakan sekiranya mereka mahu dengan meletakkan gambar Lim Kit Siang bersama gambar rakan-rakan lain dalam pakatan pembangkang dan dipijak oleh orang lain. (Fikirkan) macam mana rasanya," kata Rais.
Rais juga berkata gelagat berfikiran sempit dan politik kurang ajar seperti itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
DAP hias tempat kesat kaki dengan gambar tiga ADUN...
Berat juga nampaknya meroyan politik yang dihadapi oleh DAP ekoran kehilangan kuasa di negeri Perak. Selama ini semua orang tahu DAP sebagai parti yang memiliki kerusi terbanyak dalam pakatan pembangkang membentuk kerajaan negeri sebelum ini, merupakan master mind atau tok dalang menggayakan pentadbiran kerajaan negeri dengan menteri besar patungnya Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Meroyannya parti itu dapat dilihat dengan beberapa siri sarkas yang dianjurkan bermula dengan sidang haram bawah pokok, kecoh dalam DUN Perak dan mengadakan mesyuarat sidang DUN olok-olok di Hotel Heritage.
Terbaru, DAP buat satu lagi perkara yang disifatkan oleh banyak pihak sudah melampau apabila membuat tempat kesat kaki dengan gambar tiga ADUN pakatan pembangkang yang meninggalkan parti masing-masing dan menyokong Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri yang baru di Perak.
Para penyokong bukan sahaja memijak gambar ketiga-tiga ADUN berkenaan iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (ADUN Behrang – PKR), Kapt (B) Osman Jailu (ADUN Changkat Jering – PKR) dan Hee Yit Foong (ADUN Jelapang – DAP) semasa memasuki dewan Konvensyen ke-15 DAP Perak di Ipoh malah ada yang seronok melompat-lompat di atas gambar ketiga-tiga ADUN tersebut khususnya gambar muka Yit Foong yang merupakan bekas ADUN DAP.
Kecuali Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, semua pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang dengan bangganya memasuki dewan persidangan itu dengan memjiak tempat kesat kasut bergambar tiga ADUN tersebut.
Berdasarkan laporan beberapa laman web, banyak komen yang diberikan oleh para pembaca yang menyifatkan tindakan DAP itu sebagai tidak matang dan kebudak-budakan.
Rata-rata komen yang diberikan mengkritik tindakan DAP membuat tempat kesat kaki berkenaan yang akan memberikan imej negatif kepada DAP dan pakatan pembangkang secara keseluruhannya.
Walaupun ada yang memang marah dengan tindakan tiga ADUN yang menyebabkan berlakunya peralihan kerajaan di Perak tetapi meletakkan gambar muka mereka di tempat kesat kaki dan dipijak beramai-ramai, adalah tindakan tidak bertamaddun, demikian menurut beberapa komen pembaca.
Berdasarkan tindakan kurang ajar terbaru DAP itu, ada yang tidak hairan kerana apalah sangat tiga ADUN tersebut dibanding Sultan Perak yang dihina sebelum ini.
Sampai bila agaknya kesabaran boleh dipertahankan dalam melayani perangai biadap dan kurang ajar DAP ini. – 29/11/2009