Monday, January 4, 2010

Ahli MIC interaksi menerusi Facebook


SEREMBAN 3 Jan. - Semua ahli MIC di pelbagai peringkat disarankan supaya menyertai dan berinteraksi menerusi laman sosial Facebook ke arah mempertingkatkan tahap komunikasi anggota parti berkenaan.
Ketua Wanita MIC, Datin Paduka M. Komala berkata, langkah itu adalah selari dengan peredaran masa dan arus pembangunan teknologi.
Menurutnya, inisiatif berkenaan boleh membantu mempertingkatkan taraf komunikasi ahli dalam melancarkan sebarang aktiviti dan pergerakan parti tersebut.
''Kini sudah tiba masanya, kita menggunakan teknologi sedia ada untuk berkomunikasi dengan lebih efisien.
''Pada masa ini, orang ramai khususunya generasi muda yang berumur di bawah 40 tahun lebih gemar untuk menggunakan Internet, blog, laman web, laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk berhubung selain dijadikan sumber rujukan dalam mencari informasi terkini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Kemahiran Penggunaan Internet dan Laman Web di Wisma MIC negeri yang dirasmikan Pengerusi MIC negeri, Datuk T. Rajagopalu di sini hari ini.
Jelas Komala, pendekatan itu turut bertujuan bagi memudahkan orang ramai terutamanya kaum India menyuarakan cadangan, aduan atau masalah yang dihadapi mereka.
''Usaha ini akan memudahkan orang ramai dan kami untuk berkomunikasi secara dua hala dengan pantas.
''Sebarang masalah, aduan mahupun cadangan dapat di suarakan menerusi laman web bagi diambil tindakan sewajarnya dengan cepat," katanya.
Sementara itu, menurut Rajagopalu, langkah bijak itu seharusnya dilaksanakan oleh setiap ahli disemua peringkat secepat mungkin.
''Kita sudah masuk 2010 dan saya akan pastikan setiap ahli di negeri ini di semua peringkat termasuk akar umbi untuk memahirkan diri dengan dunia Internet dalam usaha merealisasikan matlamat tersebut.
''Berhubung menggunakan Internet merupakan salah satu cara kita dapat menghulurkan bantuan dengan cepat kepada golongan susah sekali gus menjamin kebajikan golongan terbabit dari terus terabai," katanya.

**Saranan yang positif dari sebuah parti komponen dalam BN

0 comments:

Post a Comment

Text Widget

Text Widget