Wednesday, May 19, 2010

'Sibu jadi peringatan kepada parti komponen Cina BN'

Di petik dari Malaysiakini.  Bertarikh 18/05/2010

Keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu yang dimenangi DAP, merupakan peringatan parti komponen kaum Cina dalam BN supaya bekerja lebih bekerja ada masa akan datang, kata ketua penerangan Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus.

“Pada pandangan peribadi saya, parti Cina di dalam BN mesti ada perubahan dan anjakan paradigma dari segi kepimpinan, strategi dan pendekatan untuk mengembalikan keyakinan masyarakat Cina kepada BN,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

Beliau yang juga ADUN Kuang berkata, parti-parti komponen BN di Semenanjung dan Sarawak harus buat perubahan dari sudut kepimpinan mahupun strategi.

Dalam pilihan raya kecil 16 Mei lalu, calon DAP Wong Ho Leng merampas kerusi parlimen Sibu dengan mengalahkan calon BN Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Haron.

Wong menang dengan majoriti 398 undi setelah memperolehi 18,845 undi menewaskan Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas, Narawi Haron yang meraih 232 undi.

Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang merupakan penyandang kerusi Sibu selama lima penggal menewaskan Wong dengan majoriti 3,235 undi.

Abdul Syukur Idrus berkata antara faktor kekalahan BN di Sibu adalah pengaruh DAP yang begitu tinggi di kalangan masyarakat Cina.

Kemungkinan juga, katanya, masyarakat Cina kurang berminat terhadap parti Cina yang lain.

“DAP membawa angin perubahan yang berlaku di Semenanjung. Angin perubahan yang dibawa mungkin dengan menceritakan tentang kejayaan mereka di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubung Malaysiakini hari ini.

Abdul Syukur yang juga ketua Umno bahagian Selayang menegaskan peringatan juga perlu diberi kepada parti komponen BN seperti MCA dan SNAP agar lebih bekerja keras pada masa akan datang.

Mengenai langkah yang perlu diambil oleh BN bagi memperbaiki dan mengekal sokongan rakyat, Abdul Syukur berkata, beliau 
menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat bedah siasat.


Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Zubir Saad pula berkata BN kalah di Sibu kerana masih ramai pengundi Cina yang tidak menyokongnya.

Beliau mendakwa, mereka termakan janji Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi peluang kepada kaum Cina dalam pentadbiran negara jika beliau dipilih sebagai perdana menteri.

“Bagaimanapun, janjinya itu adalah sukar untuk ditunaikan kerana Anwar akan mengalami tekanan yang besar terutama sekali dalam mendapatkan sokongan kaum Melayu.

“Anwar merupakan seorang yang pandai berpura-pura dalam mencapai keinginannya sendiri," katanya.

Zubir mendakwa Anwar yang juga ketua pembangkang menaburkan janjinya yang berlainan mengikut kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India demi kepentingannya.

Menjawab soalan, beliau bagaimanapun berkata, kerajaan tidak perlu bimbang dengan kekalahan BN dalam pilihan raya kecil parlimen Sibu.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membuat kajian dan menilai kelemahan BN dalam pilihan raya tersebut.

Tambahnya, anggota komponen BN perlu saling sepakat untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Mengulas mengenai langkah untuk menarik sokongan pengundi, Zubir berkata, BN perlu mengadakan ceramah yang mengikut “trend” yang diselitkan dengan alternatif lain yang mengikut kaum dan peringkat usia.

Dalam hubungan itu, beliau memberi contoh persembahan nasyid, nyanyian 60-an dan persembahan yang tidak keterlaluan.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa cara tersebut telah dilakukan oleh Pakatan Rakyat sepanjang minggu berkempen dalam pilihan raya di Sibu untuk menarik sokongan pengundi.

Sementara itu, ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan pula berkata kekalahan BN di Sibu disebabkan pelbagai isu yang memburukkan kerajaan.

Menurutnya, BN tidak berkesempatan untuk menjelaskan sebarang isu tersebut kepada pengundi.

Menurutnya, kelambatan BN dalam memberi jawapan yang muktamad dalam sesuatu perkara yang diutarakan, telah mempengaruhi kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak bimbang dengan kekalahan BN dalam pilihan raya tersebut kerana berpandangan bahawa ia bukan penentu arah pilihan raya yang ke-13.

Tegasnya, jentera BN di Sarawak perlu berkerja lebih keras untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan (pemimpin DAP) Lim Kit Siang bahawa kemenangan di Sibu merupakan sesuatu yang luar biasa kerana sebelum ini PUN, parti pembangkang pernah menguasai Sibu.

“Menang atau kalah bukan sesuatu gambaran yang cukup jelas”, ujarnya

Ditanya mengenai langkah yang perlu diambil BN untuk meraih sokong pengundi, Abdul Rahman berkata beliau bersetuju dengan Najib untuk mengubah corak berkempen agar mendapat sokongan yang lebih baik, terutama generasi kini.

0 comments:

Post a Comment

Text Widget

Text Widget