Perbuatan pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang memijak gambar tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang yang melompat sokong Barisan Nasional semasa Konvensyen DAP Perak Ahad telah mengundang reaksi yang mengecam tindak tanduk itu termasuk dari Ahli Parlimen PKR.

Antara yang lantang bersuara,Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan tindak tanduk itu sangat merbahaya dan biadap.

Beliau bertanya apa jadi jika ada bangsa Melayu yang patriotik atau ekstrem serta panas baran membuat 'alasan' untuk bangkit membalas dendam kerana merasakan bangsa mereka dihina.

Shahrizat kesal kerana perbuatan tidak berhemah itu disertai oleh Kit Siang selaku pemimpin veteran.

“Saya bimbang ekoran perbuatan itu boleh terjadi keganasan atau rusuhan. Siapa yang akan bertanggung jawab jika keganasan berlaku,”katanya Selasa.

Pada konvensyen tersebut, poster yang memaparkan wajah tiga ADUN iaitu Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) diletakkan di pintu masuk bertujuan agar perwakilan yang menghadiri konvensyen itu meminjaknya.

Selain Kit Siang antara pemimpin DAP yang terbabit dalam perbuatan itu ialah ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang juga Adun Pantai Remis; Adun Sungkai A Sivanesan dan Adun Tebing Tinggi Ong Boon Piow.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menilai perbuatan berkenaan
kurang ajar, tidak beradab dan merendahkan martabat para pemimpin pembangkang itu sendiri terutama DAP.

Beliau berkata tindakan pemimpin DAP memijak poster wajah tiga wakil rakyat itu ketika konvensyen DAP, Ahad lepas jelas menunjukkan pembangkang di negara ini tidak menghormati demokrasi.

"Tindakan mereka adalah terlalu melampau dan dengan bahasa paling mudah ialah orang tidak beradab. Apabila seseorang itu tidak memahami dan menghormati proses demokrasi, maka dia tidak mempunyai nilai-nilai demokrasi.

"Jika kita tidak menghormati seseorang, jangan bercakap soal demokrasi. Mereka melakukan perbuatan sedemikian langsung tidak melambangkan apa yang mereka perkatakan sebelum ini," katanya di Ipoh Selasa.

Zambry turut melahirkan rasa kecewa apabila seorang pemimpin politik seperti Kit Siang sanggup merendah dan menjatuhkan maruah dengan melakukan perbuatan sedemikian.

"Paling membebalkan apabila tindakan seorang orang tua seperti Kit Siang melakukan sedemikian. Bagi saya paling malang dalam sejarah politik apabila seorang yang kononnya dianggap 'supremo' dalam politik menjatuhkan maruah dan martabatnya begitu rendah sekali," katanya.

Sementara itu Pergerakan Puteri UMNO mengutuk sekeras- sekerasnya perbuatan biadap pemimpin DAP yang memijak poster tiga wakil rakyat bebas itu yang secara terang dan nyata bertujuan menghina mereka.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam satu kenyataan Selasa berkata, tindakan seumpama itu jelas bertentangan dengan semangat perpaduan dan saling hormat menghormati yang menjadi teras masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Perbuatan sengaja menjadikan poster ketiga-tiga wakil rakyat bebas itu seperti 'kain pengesat kaki' sememangnya kurang ajar dan mempermainkan hak serta kebebasan seseorang itu untuk memilih parti yang ingin diwakilinya", katanya.

Beliau berkata pemimpin veteran seperti Kit Siang sepatutnya menjadi teladan kepada barisan pemimpin muda dan bukannya bertindak di luar batas kesusilaan sehingga tergamak memijak gambar wakil rakyat tersebut semata-mata berbeza pandangan dalam politik.

Rosnah juga berkata beliau kesal dengan sikap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng yang selama ini bercakap mengenai kesederhanaan dan ciri-ciri pemimpin berwibawa juga tergamak bertindak sedemikian sehingga menghilangkan rasa hormat rakyat terhadapnya.

"Perbuatan yang sengaja dipertontonkan kepada ahli-ahli parti itu termasuk pihak media yang hadir semasa konvensyen itu juga menunjukkan sikap sombong dan bongkak pemimpin parti itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan perbuatan itu sebagai langsung tidak berbudaya serta tidak menghormati hak individu dan demokrasi.

Katanya perbuatan itu tidak langsung sinonim dengan masyarakat Malaysia atau prinsip Rukunegara malahan Perlembagaan negara.

"Saya boleh nyatakan kelakuan mereka dalam DAP yang pijak foto bekas rakan mereka itu adalah perbuatan langsung tidak berbudaya malah lebih terkutuk dari masyarakat yang tiada bimbingan di dunia luar," katanya.

"Ini menunjukkan bahawa politik pada diri mereka (perwakilan dan pemimpin DAP) mengatasi segala-galanya dan (mereka) tiada langsung perasaan kemanusiaan atau penghormatan terhadap individu dan hak demokrasi mereka," kata Rais.

Rais berkata jika DAP menghargai nilai demokrasi mereka harus menerima hakikat bahawa ketiga-tiga Adun itu keluar parti atas prinsip perjuangan mereka.

"Kenapa foto mereka dipijak sambil masuk ke dewan? Ketiga-tiga mereka boleh ambil tindakan sekiranya mereka mahu dengan meletakkan gambar Lim Kit Siang bersama gambar rakan-rakan lain dalam pakatan pembangkang dan dipijak oleh orang lain. (Fikirkan) macam mana rasanya," kata Rais.

Rais juga berkata gelagat berfikiran sempit dan politik kurang ajar seperti itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Sementara itu dalam satu sidang akhbar bersama yang diadakan di bangunan parlimen Selasa,sembilan Ahli parlimen pembangkang tidak setuju dengan tindak tanduk DAP itu.

Mereka terdiri dari Datuk Zahrain Mohd Hashim (PKR-Bayan Baru), Mohd Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau) Wee Choo Keong (PKR -Wangsa Maju); N. Gobalakrishnan (PKR- Padang Serai); Zulkifli Noordin (PKR Kulim-Bandar Baru); Abd Aziz Kadir (PKR-Ketereh); Mohsin Fadzli Samsuri (PKR- Bagan Serai); Ahmad Kassim (PKR- Kuala Kedah) dan Azan Ismail (PKR - Indera Mahkota).

Mereka menganggap ia sebagai satu tindakan kebudak-budakan, biadap dan kurang ajar serta bimbang akan jadi ikutan pihak lain.-1/12/2009