Monday, November 30, 2009

Dua Orang Kuat PKR Papar Sertai UMNO




PAPAR, 29 Nov (Bernama) -- Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Papar Awang Mumin Awang Marali dan Ketua Pemuda bahagian itu yang juga Setiausaha Pemuda PKR negeri Faizal Julaili mengisytiharkan keluar dari parti itu dan menyertai Umno.

Kedua-dua 'orang kuat' PKR Papar itu menyerahkan borang keanggotaan kepada Ketua Umno Bahagian Papar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail di dua majlis yang berbeza, dekat sini pada Ahad.

Pada majlis itu, Awang Mumin dan Faizal berikrar akan taat setia kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Abdul Rahim berkata rakyat khususnya penyokong pembangkang kini mulai sedar dan menaruh keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan BN dan Umno.

Katanya ini kerana mereka yakin hanya dengan BN sahaja akan dapat menjamin kestabilan pembangunan, ekonomi dan politik di Sabah.

Abdul Rahim berkata perubahan dan pendekatan yang dilakukan oleh Umno di bawah kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak juga membuktikan parti itu sentiasa mengutamakan rakyat di akar umbi.

"Penduduk Sabah kini meletakkan harapan tinggi kepada BN dan UMNO untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi dan mengukuhkan kestabilan politik.

"Menyokong pembangkang bukanlah pilihan terbaik bagi rakyat Sabah kerana ini hanya membantut segala usaha dan pembangunan sosio-ekonomi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan BN," katanya.

-- BERNAMA

Nik Aziz Pertahan Isu Doanya, Tidak Salah Daripada Aspek Islam




KOTA BAHARU, 29 Nov (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan bahawa tidak salah daripada segi agama Islam jika mendoakan seseorang itu dilaknat Tuhan jika mereka mempunyai niat jahat terhadap seseorang lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sanggup berhadapan dengan ulama yang membidas serta mengkritik kenyataannya itu dan mengingatkan beliau bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak betul.

Menteri Besar Kelantan itu turut menjelaskan kenyataannya itu.

"Doa yang dimaksudkan itu (kepada Perdana Menteri) hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Perdana Menteri,(Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu beri (royalti) gas dan petrol kepada Kelantan, kalu tak beri juga, bermakna beliau berniat tak baik.

"Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan tu...," katanya.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.

-- BERNAMA

Sunday, November 29, 2009

Pas Akhirnya Akui Ada Perpecahan Dalam Parti – Hishammuddin

KUALA TERENGGANU, 28 Nov (Bernama) — Nama ‘Kolonel Mat’ yang disebut oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai dalang dalam konspirasi untuk menjatuhkannya, membuktikan memang ada unsur perpecahan dalam parti PAS itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata akhirnya PAS tidak dapat lagi menyembunyikan masalah dalaman yang berlaku walaupun ia seringkali dinafikan pimpinannya.

Katanya, walaupun mungkin nama ‘Kolonel Mat’ disebut Mursyidul Am PAS itu sebagai kiasan, ia secara jelas membuktikan adanya perpecahan dan permasalahan dalam parti itu yang disebabkan orang dalamnya sendiri.

“Sekarang jelas mereka sendiri telahpun menyatakan bahawa wujudnya perpecahan, wujud permasalahan, dan sebagainya. Orang ramai juga boleh lihat ianya tidak ada kena mengena dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN) pun.

“Bagi saya mereka boleh menafikan (adanya perpecahan) tetapi tidak boleh menafikan selama-lamanya.

“Akhirnya keretakan, permasalahan yang seringkali mereka tuduh berpunca dari UMNO dan BN, hari ini timbul di dalam parti mereka sendiri, dan kesannya datang dari tindak tanduk ahlinya sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, pada hari Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Nik Abdul Aziz Khamis lalu bahawa wujudnya konspirasi yang didalangi ‘Kolonel Mat’ untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar dan kerajaan PAS Kelantan.

Mengulas gesaan pemimpin DAP, Lim Kit Siang supaya Biro Tata Negara (BTN) ditutup terus, Hishammuddin berkata ia tidak lebih kepada tindakan pihak yang sudah ketandusan isu selain cuba mengalih pandangan kepada masalah dalaman yang dihadapi mereka sendiri.

“Saya pun tidak faham. BTN ini dah wujud lama, kenapa sekarang baru nak timbulkan… mungkin juga mereka bimbang BTN ini pendekatan yang betul-betul berjaya dalam kita hendak membina sebuah negara bangsa dan dalam konsep 1Malaysia,” katanya.

Ketika diminta mengulas perkembangan politik UMNO Terengganu yang dikatakan mengalami pergolakan sebelum ini, beliau berkata keadaan sebenarnya tidak seperti yang digembar-gemburkan.

“Sepanjang beberapa bulan memimpin UMNO Terengganu, saya lihat keadaannya stabil. Kalau kita dengar teruk, tetapi sebenarnya tidak,” katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, sebelum itu menghadiri majlis korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha melibatkan 11 ekor lembu di Kampung Tok Jembal, Seberang Takir, di sini.

– BERNAMA

Sudah Tiba Masanya Nik Aziz Berundur, Kata Mustapa

JELI, 28 Nov (Bernama) — Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata sudah tiba masanya Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berundur setelah hampir 20 tahun memerintah Kelantan.

Katanya ini memandangkan diri Mursyidul Am PAS itu kini diselubungi kemelut politik dan isu negatif yang melibatkan keluarganya.

Sehubungan itu, Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menyarankan Nik Abdul Aziz menjelaskan pendirian berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar berikutan kemelut politik dalaman PAS yang sedang melanda parti itu sekarang.

“Menjelang akhir tahun ini, Nik Abdul Aziz perlu perjelaskan pendiriannya, kerana rakyat Kelantan tertunggu-tunggu, memandangkan beliau selalu uzur, dan khidmatnya begitu lama hampir 20 tahun dengan kerajaan negeri.

“Saya rasa khidmatnya selama 20 tahun sebagai Menteri Besar Kelantan sudah cukup sumbangannya kepada rakyat negeri ini,” kata Mustapa kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidiladha di Darulfalah, dekat sini hari Jumaat.

Lebih 3,000 masyarakat dalam Parlimen Jeli menghadiri rumah terbuka Mustapa, yang juga Anggota Parlimen Jeli. Pada majlis itu, enam ekor lembu dikorbankan.

– BERNAMA

UMNO BAHAGIAN MERBOK


Akhirnya , UMNO Bahagian Merbok kini mempunyai platformnya sendiri. Ini bukan bermakna UMNO Bahagian Merbok tidak pernah terfikir kearah untuk mempunyai sendiri medium untuk melapurkan kegiatan-kegitan berkaitan dengannya, tetapi, masa yang diambil adalah untuk mencari persembahan yang sebaik mungkin. namun begitu medium-medium sayapnya telah lama berada dipersada maya dan begitu aktifenyampaikan bahan-bahan berkaitan kegiatan-kegiatan yang telah, sedang dan akan mereka lakukan terutamanya Ketua bahagian sendiri melalui blog peribadi beliau, sayap Pemuda, begitu juga dengan sayap Puteri. manakala sayap Wanita sedang meperkemaskini segala maklumat yang ada sebelum melancarkan medium maya mereka sendiri, InsyaAllah.

Unit ICT dibawah Biro Penerangan telah lama ujud dan sebenarnya begitu aktif dalam membantu UMNO Bahagian Merbok sendiri terutama sayap-sayap dalam UMNO Bahagian Merbok sendiri, dan setelah memastikan sayap-sayap ini selesa dengan medium-medium mereka, barulah kini Unit ICT mengorak langkah bagi melahir serta melancarkan medium mayanya sendiri. Semoga pihak-pihak yang berkaitan dengan UMNO Bahagian Merbok, pendokong-pendokong UMNO, aktivis-aktivis UMNO dan veteran-veteran UMNO yang berpengalaman diharap dapat turut sama menyumbang kepada pengisian medium maya ini secara kerap.

“BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT”

BN MENANG KEDAH SENANG

Text Widget

Text Widget